Setiap orang memiliki personaliti tersendiri, ada yang suka bersendiri, ada yang jenis gembira tanpa rasa tertekan, dan ada pula yang sering bertukar personaliti mengikut ‘mood’.
Personaliti boleh dilihat berdasarkan empat kumpulan darah: A, B, AB, dan O. Cuba bandingkan personaliti anda dengan profil di bawah, dan lihat sejauh manakah kebenarannya. Mungkin ini hanyalah satu kajian, namun ada kebetulannya juga. Jom kita lihat
Kumpulan darah A
lazimnya mereka yang memiliki darah jenis A merupakan individu yang tegas. Mereka lebih bersifat konservatif, bertanggungjawab dan sering menepati masa. Merekalah idola di kalangan rakan-rakan. Kerja rumah dan tugasan sentiasa siap pada waktunya. Paling berjimat-cermat dengan wang.
Antara mereka berjaya dalam bidang saintis, perniagaan. Mereka lebih selesa bergaul dengan individu daripada kumpulan darah AB dan O. Mungkin kerana sifat mereka yang lebih konservatif dan berhati-hati, maka mereka lebih tertarik kepada sifat rasional dan sistematik yang dimiliki individu daripada kumpulan AB. Mereka juga lebih menghargai sifat kepimpinan yang ada pada individu kumpulan O, terutamanya yang dapat membimbing hidup mereka supaya lebih teratur dan sempurna.
Kumpulan darah B
Mereka yang memiliki darah kumpulan B lazimnya lebih ceria dan suka bergembira – merekalah yang paling senang teruja, impulsif dan sering bertindak di luar jangkaan. Mereka gemar melakukan sesuatu secara mengejut dan tiba-tiba. Mereka mungkin sanggup memandu selama 3 jam untuk mencuba gerai nasi lemak enak yang dibaca di dalam akhbar pagi ini. Mereka juga mungkin terus sahaja menempah tiket ke Sabah untuk mendaki Gunung Kinabalu hanya kerana beberapa rakan baru bercakap mengenainya. Mereka menceriakan suasana kerana mereka menghargai kehidupan dan akan berbuat apa sahaja untuk menikmatinya. Mereka juga lebih kreatif dan dengan mempunyai bakat dalam bidang seni. Tidak hairanlah jika ramai yang telah berjaya sebagai artis, ahli muzik dan pelakon komedi.
Mereka daripada kumpulan B selalunya berkawan baik dengan individu daripada kumpulan darah yang sama dan juga rakan-rakan daripada kumpulan AB. Sifat mereka yang bersemangat dan impulsif adalah sesuai dengan sifat kumpulan AB yang lebih tenang dan rasional. Hubungan yang terjalin di antara kedua-dua kumpulan ini lebih berpotensi untuk kekal dalam jangka panjang.
Kumpulan darah AB
Mereka yang memiliki darah kumpulan AB adalah pemikir yang hebat malah mereka nampak lebih tenang dan teratur dengan apa yang dilakukannya.
Mereka selalu dipuji atau sebaliknya apabila kelihatan terlalu tenang dan bersahaja meskipun krisis melanda. Mereka terkenal dengan kecenderungan untuk memberikan penjelasan panjang lebar mengenai sesuatu isu. Selain mampu bersikap analitikal, individu berdarah AB juga seorang yang teratur. Contohnya, rak buku di rumah juga mungkin tersusun rapi dan mengikut aturan abjad yang betul! Oleh itu, tidak hairanlah jika ramai individu daripada kumpulan darah ini yang berjaya sebagai penganalisis, diplomat dan akauntan.
Mereka daripada kumpulan AB mudah mesra dengan semua orang daripada setiap kumpulan darah. Sikap mereka yang rasional dan kemampuan untuk memahami orang lain memudahkan mereka mengelakkan diri daripada percanggahan pendapat yang mungkin menyebabkan pertengkaran. Kawalan emosi yang baik juga bermakna mereka jarang terjejas akibat sebarang perbalahan.
Kumpulan darah O
Mereka yang memiliki darah kumpulan O lahir sebagai seorang pemimpin, malah mereka berkeyakinan, bercita-cita tinggi dan peramah. Mereka juga memiliki karisma dan keyakinan yang cukup tinggi untuk membuatkan anda bersetuju dengan cadangan atau pendapat mereka.
Mereka yang berdarah O lebih berkemungkinan untuk berkawan rapat dengan individu daripada kumpulan AB kerana sifat mereka yang berbeza tetapi saling melengkapi antara satu sama lain. Sifat rasional dan tenang yang dimiliki oleh mereka yang berdarah AB membantu mereka membuat analisis dan menyelesaikan masalah. Mereka daripada kumpulan O pula boleh menunjukkan cara-cara menyerlahkan karisma dan membentuk keyakinan dalam pergaulan.
Kelihatannya acuh tak acuh, tidak kisah, padahal sebenarnya sensitif, memahami, cuma suka berpura-pura ego. Adil, paling benci kebohongan dan kemunafikan.
Jika orang sekeliling melayannya dengan baik pasti dibalas baik juga, tetapi jika sebaliknya, dia boleh berubah menjadi lebih jahat!
Berani cuma takut gagal, bagaimanapun juga seorang yang selalu berusaha untuk tabah.
Merekan juga tidak mudah menaruh dendam. Kebaikan orang selalu diingati dan dibalas malah 2 kali ganda.
Namun begitu, mereka di dalam kumpulan O lazimnya tidak begitu mesra antara satu sama lain. Ini kerana masing-masing bercita-cita tinggi dan mungkin sahaja saling bersaing, sama ada di pejabat mahupun di rumah. Oleh yang demikian, individu berdarah O harus lebih berhati-hati dan belajar bertolak-ansur.
Sumber: Astro.com.my