Tekanan atau stress merupakan satu keadaan yang lumrah yang dialami oleh manusia dalam kehidupan tanpa mengira usia.
Tekanan yang serius boleh mengganggu kesejahteraan hidup dan boleh menyebabkan penyakit saluran penafasan, migrain, gastrik, sakit jantung, tekanan darah tinggi, dan penyakit kronik yang lain.
Definisi Tekanan
Satu keadaan gangguan emosi, proses pemikiran dan keadaan fizikal seseorang yang menggariskan ciri-ciri berikut:
- Tindak balas fizikal, mental dan emosi seseorang terhadap sebarang keadaan yang boleh mengganggu kestabilan dan keselesaan yang lazimnya dialami.
- Tindak balas tubuh badan terhadap sebarang gangguan atau arahan yang diterima tetapi tidak dapat ditangani oleh seseorang.
- Tindak balas fisiologi dan psikologi yang tidak spesifik disebabkan gangguan kepada keseimbangan atau hemeostasisi, iaitu proses perubahan dalam badan seseorang untuk mengekalkan keseimbangan dalaman bagi proses biokimia yang teratur untuk kestabilan fisiologi.
- Manifestasi sistem minda tubuh yang boleh diramalkan, akibat tekanan dalaman dan luaran, yang sekiranya berterusan, boleh memudaratkan diri dan menyebabkan penyakit.
Langkah-langkah Menangani Tekanan (stress).
Suami isteri yang bekerja juga mendapat tekanan sekiranya tidak boleh mengimbangi antara kerjaya dan tumpuan terhadap rumahtangga. Antara tindakan dan langkah-langkah yang boleh dilakukan ialah:
- Menganalisis diri iaitu musahabah diri – individu perlu menyedari bahawa dia sedang mengalami tekanan
- Kenal pasti punca tekanan
- Mengawal emosi dan perasaan secara matang dan profesional dengan cara meningkatkan kesabaran dan memperbanyakkan amalan kerohanian.
- Akur dengan keupayaan diri dan seterusnya menyesuaikan diri dengan keadaan yang dialami.
- Mengurus masa dengan lebih bijak dan bersistematik mengikut keutamaan dan matlamat hidup yang realistik (yang mampu dicapai bergantung dengan keupayaan diri sendiri). Mengatur jadual waktu bekerja dan waktu istirehat yang sesuai dengan diri.
- Amalkan cara hidup sihat berdasarkan ajaran agama.
Pengurusan Konflik
Konflik rumahtangga ialah satu situasi yang berlaku apabila hubungan, peranan, komunikasi, sikap, nilai dan reaksi pasangan tidak sejajar/selari dengan konsep perkahwinan dalam Islam. Antara tanda-tanda berlakunya konflik:
- Berkurangnya perasaan kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri seperyi tidak mesra dan selalu dingin.
- Berlaku halangan komunikasi seperti tidak berbicara dengan mesra, tidak berterus terang, berdiam diri, dan suka mencari kelemahan pasangan.
- Bersikap negatif sehingga mengabaikan tanggungjawab dan menjadikan hubungan hambar dan tidak harmoni.
Punca berlakunya konflik:
- Faktor Dalaman – Tidak menghargai dan menghormati pasangan seperti tidak menghargai pengorbanan dan sumbangan yang telah dilakukan, tidak mengiktiraf dan tidak menghormati suami sebagai ketua keluarga.
- Faktor Luaran – Campur tangan orang ketiga, kecurangan, terlibat dengan pelacuran, perjudian, jenayah dan faktor negatif yang lain.
- Faktor Kerja – Gagal mengimbangan kerjaya dan rumahtangga serta gagal memahami budaya kerja pasangan.
- Faktor Ekonomi – Tidak bijak merancang kewangan kerana kurang pendapatan, atau perbelanjaan yang tidak seimbang dengan pendapatan sampai banyak berhutang.
Teknik Pengurusan Konflik:
Antara teknik yang boleh dilakukan untuk menangani konflik yang berlaku dalam rumahtangga ialah:
- Membaca al-Quran dan berdoa serta bertawakal kepada Allah SWT
- Mengesan perubahan tingkahlaku, sikap, cara hidup dan komitmen pasangan untuk menghindarkan daripada prasangka, cemburu buta, ego yang melampau dan tuduh menuduh.
- Mengenal pasti punca-punca yang menyebabkan konflik.
- Mengubah sikap dan tingkah laku, rutin harian serta berusaha untuk mencari cara penyelesaian.
- Berusaha untuk mengelakkan keadaan yang boleh menyebabkan berlakunya konflik.
- Bawa pasangan untuk berbincang secara berhemah seterusnya berlapang dada, bersifat terbuka dan bersedia untuk menerima dan membuat keputusan yang positif, bersedia mengakui kesalahan diri dan bermaaf-maafan.
- Mendapatkan khidmat nasihat pakar daripada alim ulama, kaunselor dan pengamal undang-undang dan tidak memilih jalan untuk terus melalui proses mahkhamah dan perundangan.
- Elak dari terjebak dengan perkara khurafat yang menjejaskan akidah seperti mendapat khidmat bomoh, sihir, tangkal, azimat dan sebagainya.
Sumber: Memasuki Gerbang Perkahwinan – Edisi Kedua