MCMC menegaskan kepada ibu bapa perlu memastikan bahawa anak-anak mereka yang berusia di bawah 13 tahun tidak mempunyai sebarang akaun media sosial.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan keperluan ini disebabkan penemuan MCMC yang menunjukkan bahawa kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak sesuai menggunakan mana-mana platform media sosial.
Fahmi, yang juga bertindak sebagai jurucakap Kerajaan Perpaduan, menjelaskan bahawa kebanyakan syarat platform media sosial tidak membenarkan golongan ini memiliki akaun media sosial.
“Kepada parents (ibu bapa) yang hadir pada malam ini, saya beri amaran daripada MCMC, anak-anak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun TikTok, Facebook, Instagram atau mana-mana akaun media sosial lain.
“Sekiranya ada (anak-anak bawah 13 tahun memiliki akaun media sosial), ibu bapa tolong maklum kepada saya, MCMC…kita akan akan shut down (tutup) akaun tersebut,” katanya ketika berucap pada Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Lembah Pantai 2024 di IWK Eco Park@Lembah Pantai, memetik laporan Astro Awani.
Fahmi juga menggariskan isu pemilikan akaun media sosial oleh golongan ini disebabkan proses pendaftaran yang dilakukan oleh platform-media sosial tanpa sebarang pengesahan usia.
Beliau menyatakan bahawa sebagai tindak balas, mereka telah mengadakan mesyuarat dengan pihak berkaitan seperti Meta yang menguruskan aplikasi Facebook, Instagram, dan WhatsApp, serta pihak Telegram untuk merancang langkah menangani isu ini.
“Kita lihat ada beberapa perkara daripada pihak media sosial yang perlu dimaklumkan kepada kita dahulu. Harapan saya menjelang awal Mei ini, akan ada pengumuman mengenai perbincangan dengan semua platform media sosial khususnya berhubung keselamatan dalam talian yang berkait dengan kanak kanak,” katanya.
Fahmi, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, menggalakkan masyarakat untuk memperkukuhkan hubungan, persahabatan, dan perpaduan di antara satu sama lain.