Pada awal bulan Jun ini telah berlangsungnya Bulan Pemerhatian Tumbesaran (Growth Watch Month) bagi usaha sama daripada pakar penjagaan kesihatan dan ibu bapa untuk mencegah masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Kempen tahunan ini diperkenalkan di seluruh negara oleh Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) di bawah program IMFeD For Growth yang telah bermula sejak tahun 2012.

Melalui perlaksanaan aktiviti ini, pihak berkenaan akan menasihati ibu bapa tentang intervensi pemakanan yang bersesuaian dan sokongan yang diperlukan untuk mengembalikan tahap pertumbuhan anak yang optimum.
Menurut Menurut Profesor Dr Lee Way Seah, Pengerusi Program IMFeD For Growth, walaupun kebanyakan kanak-kanak dan remaja Malaysia membesar secara normal, masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak kekal menjadi suatu kebimbangan.
“Pada usia 5 tahun, kanak-kanak sepatutnya mencapai 60% daripada ketinggian dewasa mereka. Malangnya, berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, 21.2% atau 1 dalam 5 kanak-kanak mengalami masalah bantut.
NHMS 2022 juga melaporkan bahawa 6.8% daripada remaja kita mengalami masalah bantut. Individu-individu ini tidak mencapai puncak pertumbuhan yang sepatutnya, iaitu 15 ke 20% hampir dengan potensi ketinggian dewasa mereka,” jelasnya.

Bukan apa, terdapat kesan jangka pendek dan jangka panjang daripada masalah bantut adalah jelas. Antaranya;
- Kanak-kanak yang terbantut lebih cenderung untuk jatuh sakit lebih kerap.
- Kurang terlepas peluang dalam pembelajaran sehingga menjejaskan prestasi di sekolah.
- Mempunyai keyakinan diri yang rendah.
- Berisiko menghidapi penyakit kronik.
- Penurunan produktiviti ekonomi.
- Pendapatan seumur hidup lebih rendah.
Profesor Lee menegaskan bahawa pertumbuhan optimum hanya boleh dicapai apabila wujudnya asas-asas tertentu.
Misalnya amalan pemakanan yang baik, nutrisi lengkap, aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan umur dan pemantauan pertumbuhan yang kerap dari usia muda.