Menurut laporan tinjauan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kitaran atmosfera di kawasan tropika akan memasuki fasa El-Niňo pada Mei hingga Julai 2023.
Jadi tidak hairanlah jika keadaan dalam rumah korang rasa bahang walaupun pada waktu malam. Belum lagi kalau keluar rumah pada waktu tengah hari, lagilah kulit rasa pedih bila kena matahari.
Bagi menghadapi musim panas ini, seorang doktor kesihatan, Dr. Samhan berkongsi senarai makanan yang boleh bantu elak diri anda daripada mengalami dehidrasi menerusi akaun twitter miliknya.

Senarai makanan tersebut adalah…..
- Buah tembikai
Menurutnya buah tembikai mengandungi 90% air yang dapat membantu menangani dehidrasi.
Tambah pula, buah ini mengandungi serat yang dapat mengurangkan sembelit
- Air kelapa
Selain rasa yang manis, air kelapa juga dapat mengurangkan risiko dehidrasi kerana mengandungi banyak nutrien dan mineral.
Misalnya kalsium, magnesium, fosforus dan juga potassium yang penting untuk badan.

- Teh panas
Mungkin ada yang masih bertanya-tanya betul ke minum air panas boleh mengurangkan kepanasan?
Betul! Minuman berais dapat mengurangkan dahaga manakala air hangat dapat membantu meregulasi suhu tubuh badan.
Lagipun teh panas merupakan sejenis diuretik yang akan menyebabkan anda membuang air kecil dan berpeluh dengan lebih kerap.
Badan mungkin akan kehilangan lebih banyak air, tapi proses evaporasi yang berlaku melalui peluh dapat membuatkan badan jadi lebih sejuk.
- Sup panas
Ingat, cecair juga dikira sebagai air, jadi sama seperti teh panas, sup dapat menggalakkan anda berpeluh. Apabila peluh tersejat, badan kita akan rasa lebih sejuk.
Apa kata makan nasi bersama sup, bukan sahaja dapat menurunkan suhu badan tapi dapat memastikan badan anda kekal hidrat.
- Timun
Buah Timun sama seperti buah tembikai, timun mengandungi hampir 95% air.
Cuba letakkan timun dalam peti ais dan makan secara mentah atau dijadikan salad, anda akan rasa air timun meletup-letup dalam mulut.
Lagipun timun lebih sesuai dimakan begitu sahaja kerana kebanyakan air di dalamnya akan hilang selepas dimasak.

- Yougurt
Protein dalam yogurt dapat mengisi perut dan membuatkan anda rasa kenyang malah, dapat membantu mengelakkan makanan yang masin dan tinggi kalori.
Yogurt juga mengandungi probiotik yang dapat memastikan sistem pencernaan anda sentiasa sihat.
- Buah sitrus
Buah sitrus terdiri daripada buah yang mempunyai pulpy seperti oren dan lemon dan buah-buah ini kaya dengan vitamin C, E dan potassium.
Untuk pengetahuan korang, nutrisi ini sangat penting pada musim panas kerana dapat bantu menjana semula sel kulit mati akibat kesan pembakaran matahari.
Sekaligus dapat membantu mengurangkan parut dari bintik hitam dan bintik-bintik.
- Mangga
Kalau korang nak tahu, buah mangga sangat bagus jika dimakan dalam keadaan sejuk kerana dapat membantu mengurangkan strok haba.
Lagipun dengan mengandungi vitamin A dan C, dapat meningkatkan sistem imun badan kita supaya kurang mengalami batuk, selsema atau demam.

- Jagung
Jagung dapat membekalkan badan dengan lutein dan zeaxanthin, sejenis antioksidan yang penting untuk kesihatan mata.
Antioksidan ini juga dapat mengurangkan risiko degenerasi makula yang dapat menyebabkan kebutaan dalam kalangan warga emas.
- Air kosong
Akhir sekali, minum banyak air kosong pada musim panas kerana setiap hari, badan akan kehilangan antara 2 – 2 ½ liter cecair melalui perpeluhan, pernafasan, perkumuhan dan penyahtinjaan.
Jadi sebab itulah, perlu minum 6-8 gelas air setiap hari tapi pada musim panas ini, anda mungkin perlu tambah jumlah air dan cecair yang diambil setiap hari.