Tidak dapat dinafikan bahawa rumah tangga yang harmoni dan kekal menjadi keinginan setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.
Siapa je yang berkahwin inginkan perpisahan tapi tahu tak, tidak mendirikan tiang lima waktu boleh menjerumus kepada penceraian?
Dalam satu ciapan memetik nasihat Ustazah Asma’ Harun, dalam pengalamannya berkhidmat sebagai pendakwah dan bekas Perundingcara Rumahtangga, dia telah melihat beberapa pola yang berulang dalam kehidupan perkahwinan.
“Semua ini ada kajian ilmiah berdasarkan analisis setiap kes, fokus kepada punca masalah melibatkan ribuan kes dalam tempoh saya bertugas.
Masalah hubungan intim ada kalanya menjadi sebab utama, tapi kebanyakannya adalah kesan akibat bila syariat Islam diabaikan,”
Ustazah Asma’ Harun
Beliau juga menjelaskan bahawa suami yang tidak solat berkemungkinan mengabaikan tugas asasnya sebagai suami dan menunjukkan sikap yang tidak menyenangkan.
Jika keberkatan dalam perhubungan itu hilang dan rahmat Allah terhalang, hubungan intim yang sepatutnya menjadi ibadah yang indah boleh bertukar menjadi bencana. Ini adalah perkara yang paling penting untuk dipertimbangkan.
Katanya lagi, jika seorang isteri tidak solat, yang merupakan kewajipan paling utama bagi seorang Muslim, dan tidak merasa bersalah kerana mengabaikannya.
Maka mengapa dia berasa bersalah menolak ajakan suaminya tanpa alasan yang munasabah, walaupun diberi amaran keras.
Kegagalan menjaga rukun Islam kedua
Bahkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pernah berkata, kegagalan menjaga rukun Islam kedua itu menyebabkan wujudnya habluminassyaitan iaitu hubungan yang terbina antara manusia dengan syaitan.
Dalam pada itu, beliau berkata jika manusia mempunyai hubungan yang baik antara satu sama lain, mereka juga akan mempunyai hubungan yang baik dengan Allah.
Jika mereka mempunyai hubungan yang baik dengan Tuhan, tidak akan ada ruang untuk pengaruh syaitan, yang cuba memisahkan manusia antara satu sama lain.
“Salah satu puncanya tak pernah solat jemaah dan bersama-sama, sebab itu Allah bila cerita ayat cerai dalam al-Quran seperti surah Al-Baqarah,”
Senator Datuk Dr.Haji Zulkifli
Mengapa amalan solat penting dalam hubungan perkahwinan?
Solat merupakan salah satu kewajipan utama dalam agama Islam tapi, realitinya ramai individu yang tidak mengutamakan solat dalam kehidupan harian mereka.
Bukan sahaja membentuk disiplin, kesabaran, dan kestabilan emosi malah memberi ketenangan.
Dengan keimanan yang kukuh akan membantu seseorang menghadapi cabaran dalam rumah tangga dengan lebih baik.
Solat berjemaah di rumah membuka peluang untuk pasangan suami dan isteri berkomunikasi secara lebih efektif.
Memberi mereka masa untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman harian, dan merancang masa depan bersama.
Jika salah satu atau kedua-dua pasangan tidak menjalankan solat dengan penuh tanggungjawab, ini boleh menyumbang kepada kekurangan dalam komunikasi dan masalah lain yang mungkin mengancam kestabilan perkahwinan.
Mari dengarkan penjelasan lebih terperinci dari Ustaz Syamsul Debat dalam satu sesi ceramahnya.
Punca Penceraian
Bagaimanapun, terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada perceraian, termasuk masalah kewangan, keganasan rumah tangga, kepercayaan antara pasangan, hubungan intim, konflik keluarga dan perselisihan faham.
Walaupun benar bahawa solat dapat membantu memperkuat perkahwinan, tapi kami bukan nak menekankan solat adalah satu-satunya faktor yang menentukan sama ada perkahwinan akan berjaya atau tidak.
Tips Untuk Pasangan
Apa pun, kami ingin berkongsi beberapa tips untuk membantu pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumahtangga.
- Tidak mencampurkan antara lelaki dan wanita di dalam kumpulan media sosial atau bersemuka.
- Tidak menggunakan ayat yang boleh menyebabkan kecenderungan untuk membayangkan secara jelas hingga boleh menaikkan syahwat.
- Tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing walaupun sudah tidak lagi sebumbung atau sehaluan meskipun secara rahsia.
- Tidak melakukan perbuatan yang membawa kepada melanggar syariat Islam atau melampaui batasan norma.
- Konsultasi yang dilaksanakan perlu diurus dengan penuh tatatertib.
- Memelihara hubungan dengan Allah.
Perceraian bukanlah satu-satunya pilihan terbaik melainkan berlaku syiqaq antara pasangan.
Jadi, sebaiknya jangan biarkan masalah kecil menjadi besar atau memburukkan lagi keadaan. Selesaikan cepat-cepat.
Sekiranya anda menghadapi masa yang sukar dalam perkahwinan anda, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian.
Terdapat banyak orang yang mengambil berat tentang anda dan ingin menolong, jadi luahkan masalah anda kepada mereka yang anda percaya.