Air kencing berbuih ini mungkin boleh terjadi hasil daripada beberapa perkara. Tetapi, adakah normal apabila air kencing berbuih? Kencing berbuih ini boleh menjadi tanda anda mempunyai masalah kesihatan, terutamanya buah pinggang.
Namun, tidak perlu risau air kencing berbuih kerana ia adalah perkara normal. Keadaan ini boleh dirawat dengan minum air dalam kuantiti yang banyak daripada biasa. Namun, disarankan berjumpa doktor jika terdapat tanda-tanda berikut:
Mempunyai simptom seperti bengkak kaki, tangan, muntah-muntah, kurang selera makan dan merasakan badan lemah, kencing masih berbuih setelah beberapa hari, air kencing keruh dan mempunyai darah atau pesakit mengalami ejakulasi yang menghasilkan air mani yang sedikit.
Air kencing berbuih jika berlaku sekali-sekala adalah satu keadaan yang normal. Jika berterusan, mungkin tanda yang anda sedang mengalami kerosakan buah pinggang. Selalunya, tanda ini hanya terhasil pada tahap akhir masalah buah pinggang.
Lihat juga tanda-tanda lain yang memberi petunjuk kepada doktor sama ada anda berpenyakit atau tidak, sekiranya kencing berbuih berlaku lebih dari sekali.
Selalu rasa letih, bengkak pada kaki dan tangan, rasa loya dan/atau muntah, kurang selera makan, air kencing yang keruh dan penghasilan air kencing yang semakin kurang juga adalah petunjuk yang boleh diambil kira untuk diagnosis.
Selalunya pesakit yang mengalami masalah ini, air kencingnya akan diambil untuk dianalisa. Pesakit yang mempunyai masalah buah pinggang selalunya akan mempunyai protein dalam air kencingnya. Jika air kencing tersebut normal, pesakit tidak perlu risau.
Jika pesakit mempunyai protein dalam air kencing, pengambilan darah diperlukan untuk melihat fungsi buah pinggang sama ada normal ataupun tidak.
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan kencing berbuih iaitu:
1. Kelajuan air kencing yang terhasil jika air kencing dibuang ketika pundi kencing terlalu penuh dan menyebabkan air berkocak. Ini akan menyebabkan kencing tersebut berbuih.
2. Air kencing yang pekat kerana kurang minum air dan ini akan memudahkannya lagi untuk membentuk buih.
3. Kehadiran protein dalam air kencing akan menyebabkan kencing tersebut lebih mudah untuk membentuk buih. Terdapat beberapa penyakit yang menyebabkan protein dalam air kencing seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, nephrotic syndrome, kencing kotor, kegagalan buah pinggang dan beberapa jenis penyakit yang lain.
4. Ejakulasi berbalik (retrograde ejaculation) iaitu proses ejakulasi akan menyebabkan sesetengah air mani naik ke dalam pundi kencing.
Sumber: thediagnosa.com