Table of Contents
Jika sebut Terengganu, dua perkara yang akan terlintas di minda ialah nasi dagang dan pantai yang cantik, bukan? Tapi, di mana letaknya tempat menarik di Marang, salah satu destinasi popular di negeri Terengganu?
Daerah Marang juga bersempadan dengan Kuala Terengganu, Dungun dan Hulu Terengganu.
Malah, Marang berfungsi sebagai pintu masuk ke Pulau Redang, Pulau Gemia, Pulau Kapas, dan pulau lain.
Kali ini, kami akan membantu anda menyenaraikan beberapa tempat-tempat menarik Marang, Terengganu yang boleh anda kunjungi ketika bercuti di sini.
Senarai tempat menarik di Marang Terengganu
Dataran Batu Putih
1 Tempat lepak di Marang
Alamat: Kampung Btu Putih, Marang, Terengganu
Tel: N/A
Dataran Batu Putih, tempat hangout terbaharu di Marang. Ia terletak antara Batangan Marang dan Kampung Gong Beris.
Di sini, kelihatan bot berada di sepanjang sungai dan suasana sekitarnya sangat tenang.
Tempat menarik ini dilengkapi dengan surau, tandas dan beberapa gerai dibuka pada hari biasa. Pada hujung minggu Dataran Batu Putih ini menjadi tumpuan pengunjung tempatan.
Tapi nasihat kami, jika ingin datang ke sini sila gunakan waze dan cari ‘Kg Batangan’ kerana anda mungkin akan tersesat ketika cuba sampai ke sini!
Pulau Kapas
2 Pulau popular di Terengganu
Alamat: Pulau Kapas, Terengganu
Telefon: –

Siapa pun pasti akan terpikat dengan kebiruan air lautnya, ikan berwarna-warni dan kehidupan bawah lautnya yang cantik. Pasir pantainya juga putih seperti kapas sesuai dengan namanya.
Pulau kapas popular sebagai tempat percutian di Terengganu yang menawarkan aktiviti mandi laut, snorkeling dan scuba diving. Terletak tidak jauh dari bandar Marang dan anda perlu naik bot selama 30 minit untuk sampai ke sini.
Jika anda ingin berbulan madu, lebih baik datang ke sini kerana ia menawarkan kombinasi resort dan penginapan tepi pantai yang menarik. Suasana lebih romantik semasa matahari terbenam. Wah, betapa indahnya!
Pinehill Garden
3 Kebun anggur di Marang
Alamat: 21600 Marang, Terengganu
Telefon: 014-500 9315

Bagi yang belum tahu Pinehill Garden terletak di atas Bukit Kemas. Dari Kampung Kelulut, perjalanan dengan kereta mengambil masa 10 minit.
Apabila tiba di puncak bukit, anda boleh menikmati pemandangan menghijau di semua arah. Landskap yang sangat indah dan menarik dengan pokok anggur dan pokok pinn, mencipta suasana seakan ‘mini England’.
Ini tempat yang bagus untuk short trip pada waktu petang atau pagi untuk menikmati udara sejuk di puncak bukit. Jom singgah dan bergambar di kebun anggur ini!
Pulau Gemia
4 Tempat menarik untuk pasangan di Marang
Alamat: Pulau Gemia, Terengganu
Telefon: –

Nak tengok anak-anak penyu berenang? Bersebelahan Pulau Kapas terdapat sebuah pulau kecil yang dipanggil Pulau Gemia.
Jika anda lebih sukakan privasi atau honeymoon bersama orang tersayang, inilah tempatnya.
Selain itu, terdapat resort cantik yang menghadap pantai. Aktiviti seperti berkayak, snorkelling, scuba diving dan banyak lagi boleh lakukan di sini.
Anak-anak penyu yang comel di tempatkan dalam sebuah kolam, dan anda berpeluang melihat secara real betapa comelnya mereka.
Pantai Peranginan Kelulut
5 Pantai di Marang
Alamat: Pantai Peranginan Kelulut 21600 Marang, Terengganu
Telefon: –

Bersantai di tepi pantai Marang sambil makan keropok lekor dan ditemani hembusan bayu petang yang menyenangkan, pasti terasa indah bukan? Ditambah pula dengan cuaca Marang Terengganu yang sederhana.
Kawasan Pantai Kelulut adalah pantai rekreasi yang popular dan berdekatan dengan Bandar Marang kira-kira 3 hingga 5 minit perjalanan sahaja.
Anda boleh lepak di gerai makan di sepanjang Pantai Kelulut pada waktu petang dan makan makanan jalanan Terengganu seperti keropok, ikan celup tepung, sate ikan, dan air kelapa.
Benteng Marang / Benteng Pemecah Ombak
6 Tempat ootd di Terengganu
Alamat: 21600, Marang Terengganu
Telefon: –

Oleh kerana kawasan ini dikelilingi laut lepas, kerajaan telah membina benteng ombak untuk tujuan keselamatan.
Meskipun ia hanya berfungsi sebagai benteng ombak, keunikan binaannya yang terdiri dari batuan besar dan melengkung menjadi tempat pilihan pengunjung untuk bersantai petang.
Anda boleh berjalan kaki atau berbasikal di atas benteng ini. Dari atas benteng, anda akan melihat dengan jelas Laut China Selatan yang biru dan cantik.
Pantai Pulau Kekabu
7 Tempat menarik untuk keluarga di Marang
Alamat: Taman Rekreasi Pulau Kekabu, 21600 Marang, Terengganu
Telefon: –

Tempat menarik ini dipanggil Pulau Kekabu walaupun sebenarnya ia sebuah muara. Selain berkelah dan bergambar, memancing di sini pun best kerana kawasan pantainya tenang, tidak seperti lautan lepas.
Pantai cantik di Terengganu ini sering menjadi tumpuan pengunjung yang membawa anak-anak kecil kerana ada taman permainan dan kawasan pondok rehat untuk anda sekeluarga.
Jadi apa tunggu lagi? Ajak keluarga anda hujung minggu ini dan datang ke pantai Marang ini terutamanya mereka yang menetap di Marang.
Kraf Tangan Rotan
8 Tempat membeli kraftangan di Marang
Alamat: Bukit Payung 21400 Marang,Terengganu
Telefon: –

Kraf tangan buatan Malaysia yang masih menjadi kegemaran penggemarnya ialah kraft tangan berasaskan rotan.
Bagi yang sukakan produk kraftangan sebegini, datanglah ke salah satu tempat menarik di Marang iaitu di sekitar Kampung Rusila dan Kampung Rhu Rendang.
Kawasan ini mempunyai beberapa kedai di sepanjang jalan utama yang menjual buluh, anyaman, kraf rotan, mengkuang dan lain-lain.
Jom beli kraf tangan ini dan jadikan cenderahati kepada sanak-saudara dan rakan. Inilah masanya kita sokong buatan Malaysia!
Pelabuhan Nelayan Seberang Marang
9 Pelabuhan nelayan di Marang
Alamat: Jeti Perikanan, 26100 Marang, Terengganu
Telefon: –

Adakah anda ingin memborong ikan dengan harga murah? Kunjungi Pelabuhan Nelayan Seberang Marang.
Jika anda seorang jurugambar landskap, anda harus melawat Pelabuhan Marang, di mana banyak bot nelayan berlabuh.
Ini sesuai dijadikan subjek utama berlatarkan belakangkan muara Sungai Marang. Pada awal pagi lokasi ini sudah sesak dengan peraih ikan yang ingin membeli ikan dari nelayan.
Jeti Marang
10 Jeti di Marang
Alamat: Jeti Marang, 21600, Terengganu
Telefon: –

Jeti utama untuk para pelancong menaiki bot ke Pulau Kapas. Tempat ini juga mempunyai pemandangan yang sangat menarik.
Selain itu, sekitar jeti ini terdapat agen-agen pelancongan yang menawarkan pelbagai pakej day trip ke Pulau Kapas.
Sambil menunggu bot ke Pulau Kapas, anda boleh singgah di medan selera bersebelahan yang menghadap muara Sungai Marang. Pemandangan di sini amat cantik, tau!
Marang Waterfront
11 Tempat menarik untuk bersantai waktu petang
Alamat: 21600 Marang, Terengganu
Telefon: –

Jika anda mencari tempat santai pada waktu petang bersama keluarga di sekitar Marang, anda boleh datang ke Marang Waterfront.
Waterfront ini terletak di muara Sungai Marang. Terdapat dataran dan taman permainan yang tentu akan membuat anak-anak teruja berkejaran.
Sambil berehat melihat pemandangan indah, anda boleh menikmati makanan yang dijual di gerai-gerai sekitar sini.
Taman Rekreasi Pulau Kerengga
12 Taman rekreasi di Marang
Alamat: 3, Kampung Kuala Tengah, 21600 Marang, Terengganu
Telefon: –

Terletak 5 minit perjalanan dari Bandar Marang, terdapat sebuah taman rekreasi. Uniknya Taman Rekreasi Pulau Kerengga ini kerana terletak di antara sungai dan laut.
Selain itu, tersedia taman permainan, pondok rehat, surau, jambatan, dan tandas. Lokasi ini terletak berhampiran pokok nipah dan mempunyai pemandangan sungai yang mendamaikan.
Jika anda kaki pancing, anda boleh memancing di sini kerana kawasan ini antara port terbaik di Marang untuk memancing ikan sungai. Jangan lupa datang tau!
Kedai Keropok Lekor Marang
13 Makanan popular di Terengganu
Alamat: 3, 21600 Marang, Terengganu
Telefon: 016-922 8008

Nak makan keropok lekor yang sering dikunjung pelancong? Tak perlu susah payah ke Kampung Bukit Tok Beng atau Kampung Losong di Kuala Terengganu.
Sebaliknya, anda boleh menemui banyak kedai yang menjualnya di sepanjang jalan pantai di Marang. Kedai yang paling popular di sini ialah Kedai Keropok Lekor 008 Kelulut.
Anda boleh pilih pelbagai jenis kerepok lekor sama ada yang rebus, goreng ataupun keropok keping.
Air Nira Kelulut & Dodol Palas
14 Perusahaan utama di Marang
Alamat: 21600 Marang Terengganu
Telefon: –

Air nira, merupakan salah satu minuman yang berkhasiat kerana manis yang terhasil semulajadi bahkan menjadi minuman kegemaran masyarakat Terengganu.
Jika belum pernah merasainya anda boleh mendapatkannya di sepanjang jalan Kg Kelulut dan Pulau Kerengga. Di sini banyak gerai-gerai yang menjual air nira yang sangat segar.
Jika anda mencari dodol palas, madu kelulut, dan air kelapa juga ada di sini. Salah satu perniagaan terpenting orang kampung khususnya di kawasan Kampung Batangan ialah perusahaan dodol palas, jagung, jus, dan madu kelulut.
Pasar Marang
15 Pasar di Marang
Alamat: Bandar Marang, 21600 Marang, Terengganu
Telefon: –

Nak menginap di homestay sekitar Marang dan tak tahu nak beli bahan-bahan basah di mana? Jangan panik, datanglah ke Pasar Marang!
Selain makanan laut segar, banyak gerai di sini menjual kuih muih tradisional Terengganu seperti bronok sagu, kuih gulung, onde-onde, dan sebagainya.
Restoran Lempeng Rusila
16 Lempeng sedap di Marang
Alamat: 11, Malaysia, Jalan Mawar 3, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Telefon: 013-9283414

Lempeng menjadi salah satu menu utama di restoran ini yang terletak di Kampung Rusila dan berhampiran pantai menambahkan lagi keenakan rasa lempeng ini semasa memakannya.
Terdapat pelbagai jenis lauk pauk tersedia untuk makan tengah hari dan sering dipenuhi pengunjung tempatan. Lempeng antara hidangan yang ringkas namun jarang yang tahu tentang menu ini.
Restoran ini pernah masuk dalam rancangan Jalan-Jalan Cari Makan, bahkan sehingga kini masih menjadi pilihan orang ramai untuk berkunjung makan.
Medan Selera Esplanade
17 Tempat makan menarik di Marang Terengganu
Alamat: Jetty Pulau Kapas/Gemia, Arked Jeti Pelancongan, 21600, Marang, Terengganu
Telefon: –

Jika anda berkunjung ke Esplanade ini, jangan lupa untuk singgah di gerai-gerai berhampiran. Bermacam-macam kudapan yang menyelerakan anda boleh dapati di sini.
Bermula dari yang sejuk hingga panas. Semuanya sangat sedap. Sambil meluangkan masa bersama keluarga, anda boleh menikmati cendol atau sotong celup tepung goreng.
Waktu operasi: sabtu – khamis (11 pagi – 8 malam)
Roti Tempayan Line Clear
18 Roti tempayan di Terengganu
Alamat: Kampung Rhu Renggeh, 21080 Kuala Terengganu, Terengganu
Telefon: 012-9486646

Pernah tak anda makan roti yang di bakar dalam tempayan? Jika anda ingin merasainya anda wajib datang ke Roti Tempayan Line Clear.
Roti yang unik di bakar secara tradisonal dan dimakan dengan masakan gulai ayam atau gulai daging ala Terengganu pilihan anda.
Pengunjung sentiasa datang ke sini dari dalam dan luar negeri untuk menikmatinya.
Waktu operasi: isnin – jumaat (4.30 petang – 11 malam)