Tahukah anda tips untuk memilih buah durian yang baik dan berkualiti? Ada beberapa cara nak memilih buah durian ini. Jika anda seorang penggemar buah durian, mesti nak kena tahu sedikit sebanyak tips untuk memilih buah durian dengan betul agar dapat elak dari kecewa atau rasa tertipu. Buah durian juga banyak kelebihan untuk kesihatan.
Sekarang tengah musim durian, pasti ramai ingin membeli durian dengan jumlah yang banyak. Ataupun untuk membeli kepada saudara mara yang sukakan buah durian. Kadang-kala, jenis-jenis buah durian menjadi faktor utama dalam pemilihan kualiti buah durian yang baik.
Anda mesti pernah dapat buah tidak berapa baik, bukan? Kadang-kadang rasa membazir saja membeli buah durian, kononnya percaya kepada si penjual. Tetapi sudahnya hampeh nak makan pun tak sedap. Jadi, kalau anda teringin nak pekena durian, belajar dulu tip berikut:
7 Cara Untuk Memilih Buah Durian
1 Duri
Ini salah satu cara paling mudah untuk anda pilih durian yang bagus dan puas hati untuk dinikmati. Anda perlu lihat bentuk duri-duri pada buah durian.
Sekiranya kulit berduri jarang dan besar-besar, maka durian itu berisi padat. Jika duri durian itu kecil dan berjarak dekat, isi durian itu pasti lembik dan kurang padat. Cari duri yang panjang, besar dan tumpul sebab kata orang tua-tua, isinya mesti masak elok, kering dan manis-manis belaka.
2 Bau
Ini teknik atau tips paling mudah nak mendapatkan durian yang sedap dan puas hati. Durian yang berbau kuat, kemungkinan besar buahnya besar, manis dan matang. Manakala, durian yang kurang menyengat baunya, buah durian itu mungkin masih belum masak sepenuhnya, isinya agak keras
Kalau tak ada bau langsung, maka isinya sudah masuk angin. Kemungkinan besar, isinya juga tidak berapa sedap dan berasa tawar. Jika aromanya berbau manis, isinya berkualiti bagus. Kalau kurang bau, isi pasti masih muda. Boleh beli, tapi pastikan simpan beberapa hari dulu sebelum dimakan.
3 Bentuk
Pilih yang cantik bulatnya. Kenapa? Kalau bentuk bulat, isi dalam tebal, manakala kalau lonjong, isinya agak kecil dan rapat-rapat. Jangan pilih buah yang kulit senget atau tidak rata kerana isinya selalu sedikit.
4 Kulit
Pastikan kulit durian tiada sebarang kecacatan atau luka-luka. Kalau ada, isi dalamnya kemungkinan busuk dan tidak elok. Jangan pilih yang sudah merekah atau kulit durian yang sudah pecah di hujungya. Sebab? Durian yang sudah pecah kebanyakannya sudah tidak elok dan berasa masam. Tetapi, kalau berhajat nak jadikan isi buah durian tersebut sebagai tempoyak, maka buah durian sebegini adalah yang terbaik.
5 Tangkai buah
Nak tahu buah yang masih baru, tengok tangkai yang segar dan berwarna cerah. Durian yang jatuh dari pokok, tangkainya pasti bergerigi. Jika tidak, ia kemungkinan durian yang sudah dipetik sebelum ia masak dan disimpan terlebih dahulu.
Nak tahu isinya tebal atau tidak? Anda kena cungkil kulit tangkainya dengan kuku, jika tebal, maka isi dalamnya juga tebal. Nak tahu isi buah durian itu kuning atau tidak, anda kena tengok dibahagian dalam kulit tangkal. Jika kuning maka isinya juga turut berwarna kuning.
6 Goncang buah
Ini yang selalu orang buat. Tapi, apa yang digoncang? Cuba dengar bunyi isinya. Kalau bergetar, buah tu dah masak dan manis sebab bila isi durian dah matang, dia dah kering dan terpisah dari dinding kulit durian. Sebab itulah ada bunyi bila digoncangkan.
Pegang dan letak kedua tapak tangan pada buah durian, pegang dengan erat dan goncang perlahan-lahan. Jika dapat rasa getaran kecil, ia bermakna isi durian itu dah matang dan kering. Isi yang kering ini akan terpisah dari kulit durian, manakala isi yang lembab, lunak, berlemak akan melekat pada dinding kulit durian.
7 Makan di kedai
Dan yang paling senang dan dijamin ok, makan di kedai terus. Kalau dapat buah tak elok, sudah tentu salah si penjual kan? Mesti penjual akan ganti buah yang baru dan lebih elok. Jadi, cara ini juga mengelakkan anda daripada kena tipu.