Minuman berkafein yang sering kita ambil setiap hari selalunya kopi dan teh. Boleh dikatakan setiap pagi, tengah hari dan malam kita mengambil minuman berkafein. Ada yang mengatakan dengan meminum kopi pada awal pagi, boleh mencergaskan otak dan buat otak kita semakin aktif bekerja.
Tetapi jika diambil secara berlebihan dari tahap yang selamat, ianya boleh memudaratkan kesihatan kita. Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa pengambilan kafein yang tidak dikawal ini boleh menyebabkan penyakit seperti migrain dan insomnia.
Baru-baru ini tersebar berita berkenaan remaja lelaki yang mati kerana pengambilan kafein yang tinggi.
David Allen Cripe merupakan seorang remaja berusia 16 tahun. David meninggal dunia akibat pengambilan kafein berlebihan yang telah menyebabkan aritmia, jantung berdegup secara tidak normal.Mangsa telah dibedah siasat oleh Dr. Gary Watt. Menurutnya, David mempunyai tubuh badan yang sihat sehinggalah dia melihat jantungnya. David mengalami aritma akibat pengambilan kafein yang berlebihan di bawah dua jam.
Hasil bedah siasat menunjukan David telah mengambil minuman berkarbonat Mountain Dew, kafe latte dari McDonalds dan sejenis minuman tenaga dua jam sebelum kematiannya.
Jumlah kafein di dalam badan David ialah 470mg berbanding 100mg sehari seperti saranan American Academic of Pediatric.
Menurut ahli medikal dan forensik toksikologi yang turut menyertai bedah siasat, berdasarkan berat badannya, pengambilan kafein David melebihi tahap yang selamat.
Tambah Dr. Watt, ramai yang tidak sedar sebenarnya kafein berlebihan boleh menyebabkan artimia. David seperti anak muda yang lain, membuat sesuatu yang mereka rasa tidak merbahaya, mengambil kafein.
Kafein
Kafein merupakan satu bahan yang pahit dan selalunya terdapat pada tumbuh-tumbuhan antaranya ialah biji kopi, daun teh, kacang kola dan biji koko. Kafein juga terdapat yang dibuat secara sintetik. Selalunya digunakan di dalam makanan, minuman dan ubatan.
Selalunya seseorang itu mengambil kafein melalui minuman dan secara amnya, kafein di dalam minuman mempunyai:
240ml kopi = 95-200mg kafein
355ml kola = 35-45mg kafein
240ml minuman tenaga = 70-100mg kafein
240ml teh = 14-60mg kafein
Tanda anda sudah mengambil kafein yang terlalu banyak
Jika anda mempunyai tanda-tanda di bawah, anda mungkin mahu mengurangkan pengambilan kafein anda:
migrain
insomnia
selalu berdebar-debar (nervousness)
tidak senang duduk (restlessness)
mudah terganggu/mudah marah
kerap buang air kecil atau tidak dapat mengawal kencing
perut tidak selesa
degupan jantung laju
otot bergegar (muscle tremors)
Jaga tubuh badan anda, jangan terlalu kerap mengambil minuman berkafein dalam sehari. Jika anda seorang penggemar kopi, kurangkan jumlah pengambilan kopi, mungkin 2 kali sehari sudah memadai.
Sumber: theasianparent