Tanggungjawab sebagai ibu bapa itu terhenti apabila anak-anak sudah berumahtangga dan mempunyai kehidupan sendiri. Dan sebagai anak yang baik sudah pasti tidak mahu menyusahkan ibu bapanya yang sudah lama berkorban untuk mereka.
Ada sesetengah anak-anak yang tidak tahu bagaimana untuk menghargai penat lelah ibu bapa. Ada diantara mereka menjadikan ibu bapa mereka seperti ‘bank segera’ apabila masih lagi meminta bantuan kewangan walaupun sudah bekerja untuk pelbagai perkara daripada membeli kereta, rumah sehinggalah mendirikan rumah tangga.
Pakar sosial, Dr. Fatimah Daud berkata, kebanyakan anak muda ketika ini tidak berasa segan untuk meminta duit tambahan daripada ibu bapa sedangkan mereka mampu untuk melancong ke luar negara setiap tahun.
Jelas beliau, dalam sesetengah perbelanjaan seperti perkahwinan dan membeli rumah, ada anak muda yang mahu kesemua perbelanjaan itu ditanggung oleh ibu bapa dengan memberi alasan tidak cukup duit kerana belum bekerja atau tiada tabungan.
“Secara realiti, ibu bapa di Malaysia ketika ini sudah menjadi bank segera atau insurans kewangan kepada anak-anak yang sudah dewasa. Jika tidak cukup duit, mereka tidak risau kerana tahu ada ibu bapa akan tolong.
Anak-anak sememangnya tahu bahawa tiada ibu bapa yang akan menidakkan apa yang diminta oleh anak-anak, jika tidak ada pun akan juga cakap ‘ada’ bagi menjaga hati anak tersayang. Namun ramai anak yang tidak tahu rasa malu, sering meminjam duit dari ibu bapa tanpa mengetahui kesusahan yang dialami oleh ibu bapa mereka.
Bahagiakan ibu bapa anda selagi mereka masih hidup.
Sumber: Kosmo.com.my