Bukan mudah untuk mengendalikan anak-anak yang sangat aktif, apatah lagi jika mempunyai ramai anak. Bagaimana hendak mengatasi masalah stres berhadapan dengan anak-anak?
Kadang kala kita tersalah tengking anak, tiada niat pun sebenarnya ingin meninggikan suara. Tetapi oleh kerana tertekan dengan persekitaran, masalah pejabat dan masalah dengan orang sekeliling, anak menjadi mangsa tempat kita meluahkan rasa marah. Sepertinya tidak adil bagi mereka bukan?
Sebenarnya dengan menengking anak bukanlah jalan penyelesaian yang baik, malah akan membuatkan anak anda mengalami masalah emosi. Dalam tidak sedar anda telah membuatkan anak anda merasa sedih dan rendah diri
Menurut Dr.Ming-Te Wang, profesor bidang psikologi pendidikan di University of Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat, memarahi anak dengan suara tengkingan boleh merosakkan keperibadian mereka semasa sedang membesar. Berikut antara kesan buruk yang boleh berlaku kepada si kecil.
1. Rasa rendah diri. Kalau selalu ditengking apatah lagi disusuli dengan kata-kata melabel anak dengan perkara negatif akan membuatkan anak rasa rendah diri. Dia akan menganggap dirinya sebagai anak yang tidak berharga. Anak mudah tersentuh dengan kata-kata negatif. Bagi mereka kata-kata negatif itu sangat melukakan hati mereka dan membuatkan mereka cenderung untuk bersendirian dan murung.
2. Agresif. Semakin kerap anda menengking dan bercakap kasar dengan anak, semakin tinggi risiko anak mempunyai perilaku agresif dan suka memberontak. Semakin dia membesar, dia tak takut untuk berlaku kasar pada kawannya seperti memukul, menolak dan menggigit. Itu adalah kerana tindakan anda berkasar dengan mereka. Anda ibarat cermin buat mereka, jika begitu anda layan mereka, maka begitu juga akan mereka contohi nanti.
3. Ketakutan. Anak yang kerap dibebel serta diherdik akan membesar sebagai kanak-kanak yang penakut. Sifat ini akan menyukarkan dia untuk bersosial dengan kawan-kawan serta mengurangkan kebolehannya menyelesaikan masalah. Dengan sikap terlalu rendah diri itu akan membuatkan dia selalu murung dan tiada kawan untuk mengadu masalah.
4. Susah beri tumpuan. Kesan kalau selalu ditengking akan membuatkan anak boleh mengalami gangguan tumpuan. Ini kerana dalam kepalanya hanya ingat dengan kata-kata negatif yang anda lemparkan. Mereka sangat kecewa dengan tindakan anda dan membuatkan mereka hilang fokus dalam melakukan banyak perkara.
5. Cakap kasar. Akibat selalu mendengar orang menengkingnya, jangan terkejut kalau anak juga akan pandai menengking orang lain termasuk papa dan mama. Mereka ikut apa yang di dengar mereka. Jika kasar bahasa anda, maka kasar juga percakap mereka. Bukan kepada anda sahaja, mungkin juga kepada orang lain. Bila nanti orang kata anda tidak pandai jaga anak, jangan pula anda marah ya!
Anak-anak adalah amanah yang mesti dididik dan dijaga dengan baik. Kelakuan mereka memang kadang kala buat kita rasa nak menjerit tapi bila tahu kesan buruknya lebih baik kita simpan tengkingan tersebut dan cuba untuk bercakap lemah lembut dengan mereka.
Sumber: Ragamanak.com