Jika boleh semuanya hendak diluahkan di media sosial. Ada masalah dengan bos, dengan rakan sekerja, seharusnya diselesaikan di tempat kerja sahaja.
Sebenarnya jika benar anda seorang yang matang, anda tidak akan mudah melatah dan hendak kongsikan perkara yang tidak perlu di media sosial. Mengapa hal remeh pun hendak disebarkan? Hendak melepaskan kemarahan? Banyak cara lain yang boleh anda lakukan. Tetapi memilih untuk melepaskan kemarahan di media sosial adalah perkara yang tidak patut anda lakukan.
Kajian menunjukkan 87 peratus pengguna kongsikan perihal tentang kerja di media sosial. Antaranya untuk mendapatkan pekerjaan impian, kenaikan gaji dan permasalahan di tempat kerja. Tahukah anda jika anda terlalu kerap mengemas kini status berbaur kemarahan di media masa, kemungkinan risiko kerjaya anda akan musnah itu besar.
Contohnya jika anda bergaduh dengan bos di tempat kerja, ataupun tidak puas hati kerana kertas kerja anda dipersoalkan oleh bos. Anda marah dan kongsikan di facebook. Kemungkinan rakan-rakan anda yang iri hati akan cuba mengambil kesempatan itu untuk menjatuhkan anda sekaligus memberitahu perkara tersebut kepada bos anda. Sudah menjadi masalah besar dan anda kemungkinan akan dibuang kerja. Sayang kan?
Jika anda tergolong di kalangan ‘keyboard warrior’, setiap komen pedas anda pasti akan diketahui oleh rakan sekerja, lebih parah jika ianya sampai ke pengetahuan majikan. Dari situ, majikan boleh menilai siapa anda sebenarnya, sekaligus merosakkan reputasi anda.
Rakan sekerja yang nampak baik dihadapan anda belum tentu akan baik dibelakang anda. Jadi anda harus sentiasa waspada, agar tidak menjejaskan kerjaya anda.
Jika ada yang tidak puas hati, bincang baik-baik dan habiskan di tempat kerja sahaja.
Sumber: Hanasuva.com