Selalunya jika isu berkaitan dengan warna merah jambu, pasti ianya akan berkait dengan wanita. Ini kerana warna tersebut sinonim dengan wanita.
Warna merah jambu dikatakan sesuai untu wanita yang perwatakan lembut dan berwajah manis. Tetapi bagaimana pula jika lelaki yang meminati warna ini dan memilih warna merah jambu sebagai warna kegemaran mereka? Pasti akan ada yang salah sangka dan menganggap lelaki tersebut ‘pondan’ dan tidak maskulin.
Mengikut penulis buku, Pink and Blue: Telling the Boys from the Girls in America yang diterbitkan pada 2012, Jo B, Paoletti, pada abad ke-19, warna merah jambu mewakili usia bukan jantina seperti sekarang.
Untuk pengetahuan anda, Ketika itu warna merah jambu dikaitkan dengan kesihatan, baharu dan kesucian sekaligus sesuai menggambarkan bayi, pipi merah dan matahari terbit pagi.
Mengikut penulisnya, lewat 1800-an, merah jambu dan biru mula digunakan secara meluas bagi membezakan jantina.
Wujud pandangan berbeza mengenai pemakaiannya. Di Perancis rona merah jambu sesuai untuk perempuan berbanding Amerika Syarikat, memilihnya sebagai gaya ideal bagi lelaki. Namun begitu, warna merah jambu tidak mencerminkan lelaki yang menyukai warna tersebut dianggap ‘lembut’ dan tidak maskulin seperti pandangan sesetang orang pada zaman kini.
Pengarah Muzium Institut Teknologi Fesyen New York, Valerie Steele pula mendakwa, warna berkenaan mewakili gaya maskulin. Jadi kepada mereka lelaki yang suka akan warna merah jambu, jangan rasa malu dengan pemilihan warna tersebut, seharusnya anda rasa yakin dan bangga dengan pemilihan yang dibuat.
“Ia kian dipopularkan pereka dari Book Brothers pada awal tahun 1900-an,” katanya.
Valerie berkata, pada mulanya ia menyasarkan pelajar perempuan sebaliknya, menarik perhatian pelajar kolej lelaki sekaligus disesuaikan dengan gaya penampilan Ivy League yang sangat popular ketika itu.
Mengulas mengenai isu ini, Perunding Imej, Etiket dan Warna Profesional (UK) dari Top2ToeStyliesta, Emi Idura Che Hashim tidak menganggap ia sebagai aliran baharu, sebaliknya bermula sekitar abad ke-18 ketika lelaki zaman itu gila menyarungkan sut merah jambu dengan sulaman bunga.
Emi berkata, pemakaian merah jambu yang sering dikaitkan dengan ciri kewanitaan, sinonim cinta dan sikap saling memberi.
Meskipun, kalangan lelaki berbadan sasa ada yang masih gentar mencuba warna itu kerana khuatir lenyap sisi kelelakian, tidak dinafikan lebih ramai mahu mencubanya.
“Tiada istilah lelaki lembut jika mencuba merah jambu. Sebaliknya, ia diterjemahkan sebagai moden, bersikap terbuka selain sentiasa berminat mengetahui pandangan ramai mengenai penampilan peribadi mereka. Selain itu, mereka turut digambarkan bijak dan budiman,” katanya.
Bagaimanapun, Emi menyarankan ia perlu diiringi pilihan aksesori sesuai personaliti, kod berpakaian ke pejabat, bajet termasuk mesej yang cuba disampaikan sewaktu menyarungkan warna berkenaan.
“Tiada aksesori tertentu namun menarik sekiranya dipadankan dengan tali leher rona bersesuaian, kafling, rompi, kaca mata hitam, di samping jam tangan sejajar formaliti pakaian,” katanya.
Emi berkata, sekiranya tidak mahu dipandang sebagai lelaki berjiwa lembut, pastikan anda memilih aksesori lebih menyerlahkan kelelakian seperti tali leher dan kafling.
Pemilihan aksesori juga penting bagi memperlihatkan sisi maskulin pada lelaki yang mengenakan baju berwarna merah jambu. Asalkan anda pandai menggayakan dan memadankannya dengan aksesori bersesuaian, pasti nampak lebih segak.
Apa yang paling penting ialah anda harus pandai memilih skim warna yang saling menyokong, contohnya apabila anda melihat seorang lelaki memakai baju warna merah jambu dan tali lehernya pula dia memilih warna merah pekat, pasti nampak sangat sesuai.
Selain itu, anda harus pandai menyesuaikan warna pilihan dengan warna tona kulit anda.
“Bukan semua kulit cerah sesuai dengan merah jambu sebaliknya, warna itu cantik buat mereka berkulit sawo matang. Apapun, saya nasihatkan berhati-hati bermain dengan kontras merah jambu dan tona kulit anda,” katanya.
Pilihan merah jambu sangat subjektif, iaitu bergantung kepada minat dan keperluan individu.
“Sama seperti warna lain, pemakaiannya tidak dikhaskan untuk majlis tertentu sahaja. Hanya saya tidak mengesyorkan ia digayakan ketika menghadiri temuduga dan sewaktu melakukan perundingan dengan bakal pelanggan dan pelabur,” ujarnya yang mengesyorkan pilihan terhad kepada jaket luar sahaja.
“Sebaik-baiknya, fahami kepelbagaian tona baik warna paling cerah hingga paling gelap memberikan persepsi tertentu kepada si pemakai.
Umumnya, warna cerah dan lembut menterjemahkan tahap autoriti membabitkan pangkat, kuasa serta jawatan rendah berbanding pilihan warna gelap,” katanya.
Pilihan warna gelap diklasifikasikan sebagai profesional, lebih matang, tegas selain mempunyai kedudukan dan status tinggi dalam masyarakat.
Sumber: Bharian.com.my