Pertussis atau batuk kokol (whooping cough) melibatkan sekurang-kurangnya 20 juta kes di seluruh dunia. Jadi kes di Malaysia pada tahun ini saja mencatatkan 76 kes berbanding tahun lepas, hanya tujuh kes.
Perkara ini mula menjadi bualan hangat apabila berita saluran media televisyen mengeluarkan kenyataan kes Batuk Kokol meningkat sebanyak 986 peratus.
76 kes ini dicatatkan berlaku di Kota Kinabalu merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 20 kes, diikuti Lahad Datu (16), Tawau (15), Putatan (8) dan masing-masing empat kes di Semporna dan Papar.
Jadi kami ambil inisiatif mencari apa itu batuk kokol dan apa simptomnya?
Apa Itu Batuk Kokol?
Pertama sekali apa yang anda perlu tahu adalah punca penyebab sakit ini bordetella pertussis atau lebih mudah difahami jangkitan bakteria akut yang melibatkan saluran pernafasan.
Cara jangkitan melalui udara daripada pernafasan orang yang dijangkiti dan lazimnya tempoh pengeraman adalah di antara 9 hingga 10 hari dengan ratio antara 6 hingga 20 hari.
Pertussis ini boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia dan bayi merupakan golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Ada Rawatan Tak?
Setiap penyakit, ada ubatnya. Bagi penyakit ini, perlu mendapatkan rawatan khusus seperti dapatkan antibiotik seperti Erythromycin, Clarithromycin atau Azithromycin untuk memendekkan tempoh jangkitan.
Jika tidak dirawat, individu yang dijangkiti batuk kokol ini boleh mengalami Pneumonia (radang paru-paru), encephalopathy (radang otak) atau lebih teruk, kematian.
Selain itu, seseorang itu juga boleh mengalami kekurangan zat, hilang berat badan merupakan komplikasi akibat muntah yang berulang.
Sawan juga boleh berlaku akibat kekurangan bekalan oksigen ke otak berikutan batuk yang berterusan tanpa sempat bernafas.
Bagaimana Mengenalpasti Batuk Kokol?
Jika seseorang mengalami batuk lebih dari tiga hari, selalunya doktor akan menjalani beberapa ujian perubatan. Antaranya ujian dan kultur hidung dan kerongkong, ujian darah atau x-ray dada.
Ujian dan kultur hidung dan kerongkong adalah untuk mengambil calitan sebagai sample untuk memeriksa samada terdapat bakteria pertussis atau tidak.
Manakala, x-ray dada diambil untuk mengesan radang atau cecair di dalam paru-paru kerana pneumonia boleh terjadi apabila batuk terlalu lama dan terdapat jangkitan pernafasan.
Bagaimanapun, terdapat enam jenis batuk yang boleh dijangkiti seseorang jadi anda perlu tahu gejala dan maksud batuk.

Macam Mana Nak Cegah batuk Kokol?
Menurut portal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pencegahan yang paling berkesan dan selamat adalah melalui pelalian menggunakan vaksin Pertussis.
Vaksin tersebut sekurang-kurangnya diambil sebanyak 3 dos dan diberikan secara suntikan tapi untuk bayi yang lahir di Malaysia akan diberikan sebanyak 4 dos mengikut Jadual Program Imunisasi Kebangsaan.
Kemudian, pelalian diberi pada umur 2, 3 dan 5 bulan serta dos tambahan (booster) pada umur 18 bulan.
Jadi, sebaiknya jika si kecil atau orang sekeliling anda mengalami batuk pergi berjumpa dengan doktor untuk dapatkan rawatan dengan segera.
Jika seseorang mempunyai gejala batuk perlu mengamalkan adab batuk (menutup mulut ketika batuk) dan mencuci tangan selepas batuk bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.
Seseorang yang bergejala juga dinasihatkan supaya tidak mencium bayi memandangkan bayi berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Pertussis.