Dikritik netizen tidak menjalankan tugas sebagai Presiden Netizen, ahli perniagaan, Datuk Seri Vida menjelaskan masa yang diberikan pihak produksi tidak mencukupi untuk membaca komen di Twitter.
Menurut Vida atau turut dikenali sebagai DSV, dia juga mahu menyuarakan pendapatnya sebagaimana juri, memandangkan dia juga adalah seorang penyanyi terkenal.
Malah, usahawan berusia 50 tahun itu meminta netizen agar membaca sendiri komen di platform tersebut.
“Netizen tolong faham, saya melakukan tugas. Saya diberikan masa yang sangat singkat, hanya 30 saat. Nak baca Twitter yang diberikan produksi yang tak sesuai untuk baca.
“Jadi, saya beri pandangan saya juga sebab saya adalah DSV yang ‘another level’. Saya rasa boleh saja saya komen sama dengan juri. Saya pun pandai menyanyi.
“Saya pun penyanyi dan lagu pernah viral sampai over the world. Netizen, bagilah saya peluang nak meluahkan pendapat saya. Anda boleh baca Twitter sendiri.
“Kalau saya yang bacakan, mungkin tak sampai mesej itu. Sebab bacaan saya itu dengan loghat Kelantan. Saya kena kecam sebab tak baca Twitter,” kata Vida kepada mStar.
Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman dikecam netizen gara-gara tidak menjalankan tugas sebagai Presiden Netizen membaca komen di Twitter.
Bukan itu sahaja, persembahan Vida pada konsert suku akhir yang berlangsung pada Ahad lalu turut mendapat pelbagai reaksi dan kritikan.
Bukan itu sahaja, ada juga segelintir netizen yang menyamakan imej Vida malam itu seperti yang pernah digayakan oleh Aina Abdul sebelum ini.
Namun bagi kami, adalah keterlaluan netizen menyamakan penampilan Vida dengan barangan yang dibeli secara dalam talian ketika Aina menjadi poster barangan tersebut.
Bagaimanapun, Vida tidak mengambil hati komen ini sebaliknya imej artistik itu sebenarnya adalah gaya watak untuk muzik video lagu terbarunya, Ku Ikhlaskan.
“Kalau nak cakap saya kembar Aina Abdul, maksudnya saya kelihatan muda la. Tapi yang penting, saya bawa karekter untuk lagu terbaharu saya,” ujarnya.
Berkongsi mengenai lagu tersebut, Vida dengan yakinnya berkata video muziknya mampu memenangi anugerah berprestij seperti Oscar.
“Video muzik saya boleh menang Oscar! Insya-Allah 20 Mac depan akan dilancarkan. Saya keluarkan kos RM400,000 untuk MV.
“Saya keluarkan kos yang tinggi pun tak dapat apa. Tapi saya nak saham akhirat yang mana kita nak dekat Ramadan, saya nak anda donote untuk saya bagi kepada yang memerlukan.
“Anda beri sumbangan melalui lagu saya itu, dan saya akan bawakan sumbangan itu kepada masjid sempena bulan Ramadan,” katanya.