Sudah menjadi sinonim dengan ibu mengandung untuk mengidam terutama untuk makanan yang rumit atau sukar dicari.
Begitu juga dengan wanita ini, Farhana Zahra, 32, yang mengidam untuk menaiki stroller bayi ketika hamil sembilan bulan.
Berkongsi cerita bersama mStar, dia yang gemar dipanggil Cik Na berkata, keinginan aneh itu bermula sejak dia hamil anak kedua lagi, kira-kira empat tahun lalu.
“Dari masa saya mengandung anak kedua dulu lagi saya memang naik stroller.
“Yang saya pakai sekarang ni stroller yang kedua dah. Saya punya lagi satu masa anak kedua tu masih ada saya simpan dekat rumah.
“Bila orang tengok video tu semua risau takut patah tengok saya duduk dalam stroller tu.
“Walaupun berat sekarang 64kg (kilogram), tapi jenama yang saya pakai ni boleh tampung berat saya, tak patah pun,” jelasnya.
Menurut ibu yang sedang hamil anak ketiga ini, dia hanya akan menaiki stroller bayi hanya ketika dia penat berjalan di pusat beli belah ditambah pula perutnya yang semakin besar ke hadapan.
Jelas Cik Na lagi, permintaan pelik yang jarang-jarang dibuat oleh ibu hamil ini tidak membuatkan suaminya malu dengan dirinya malah lebih memahami keadaannya.
“Saya suka berjalan dan shopping dekat Pavilion dan KLCC. Tapi bila dah makin besar perut ni, saya makin tak larat dan penat nak bawa diri. Jadi saya naik je stroller anak saya tu.
“Anak nombor dua tu masih naik stroller pada usia tiga tahun walaupun dah boleh berjalan tapi bila saya penat, kami akan bertukar.
“Dia pula berjalan dan bagi saya pula naik stroller dia. Dia tak kisah pun, yang penting baby sihat.
“Suami saya pun okay je tak malu pun tolak saya dalam stroller. Dia pun faham dan dah terbiasa saya suruh tolak dalam stroller ni dekat depan orang ramai.
“Ada juga yang cakap memalukan suami saja bila saya buat macam tu, padahal suami saya OK saja siap offer lagi suruh saya naik dia nak tolak.
“Bila berjalan dalam shopping mall pun, orang tak pandang pelik. Mereka faham bila tengok saya yang boyot ni penat bawa baby,” ujar Cik Na.
Berikutan video yang menjadi tular sehingga meraih lebih satu juta tontonan, Cik Na turut menerima kecaman daripada netizen yang tidak senang hati melihat rakaman ‘mengidam’ tersebut.
Jelas wanita yang menetap di Tumpat, Kelantan ini, dia hanya mengendahkan segala kata-kata negatif tersebut.
“Saya pun bukan sengaja nak naik stroller tu kalau tak ada keperluan. Saya cuma dah tak larat nak berdiri lama tambah lagi bila due awal bulan Mac ni.
Saya ada ikhtiar nak guna wheelchair tapi kerusi tu makan space besar. Suami saya memandu sport car jadi tak muat nak masukkan dalam kereta kami.
“Ada juga yang cakap memalukan suami saja bila saya buat macam tu, padahal suami saya OK saja siap offer lagi suruh saya naik dia nak tolak.
“Saya tak faham juga kenapa kena malu, bukan saya bogel atau mencuri pun,” tambah Cik Na.
Malah, Cik Na turut menitipkan pesanan kepada lelaki yang bakal atau sudah berumah tangga supaya melayan isteri dengan baik ketika mengandung.
Cik Na juga berpesan kepada para suami, jika isteri mengidam pelik, layankan saja kerana isteri sedang mengandung anak mereka juga.
Oleh itu, bersabarlah melayan kerenah ibu hamil yang hanya mahu menghilangkan nafsu kerana isteri hanya seorang, jadi kalau suami tidak layan, siapa lagi.