Sekumpulan pengkaji dari University of Queensland telah menjalankan satu kajian untuk membuktikan bahawa mendengar lagu-lagu hardcore akan mendorong seseorang bertindak ganas.
Namun begitu, kumpulan pengkaji ini telah menemui sesuatu yang mengejutkan dan berlawanan dengan apa yang mereka fikirkan selama ini.
Dr. Genevieve Dingle bersama dengan seorang pelajar bernama Leah Sharman telah menjalankan satu eksperimen yang melibatkan 39 orang yang berumur antara 18 sehingga 34 tahun.
Mereka yang dipilih ini juga adalah orang yang sering mendengar lagu-lagu bergenre hardcore seperti heavy metal, punk, emo dan screamo.
Di awal kajian, 39 orang ini akan diletakkan dalam situasi yang boleh membangkitkan kemarahan seperti berbincang perkara-perkara yang menjengkelkan mereka. Langkah ini akan dilakukan selama 16 minit.
Selepas emosi mereka berada dalam keadaan tidak stabil dan rasa hendak marah, mereka diberikan masa 10 minit untuk menenangkan diri seketika. Ada yang mendengar lagu-lagu bergenre hardcore pilihan mereka dan ada yang memilih untuk mendiamkan diri tanpa mendengar lagu.
Setelah 10 minit berlalu, Dr. Genevieve dan Leah dapati bahawa mereka yang mendengar lagu-lagu hardcore sudah menjadi tenang sama seperti mereka yang mendiamkan diri tanpa mendengar sebarang lagu.
Menurut kajian ini, subjek-subjek yang dikaji dapat menjadi tenang selepas mendengar lagu-lagu hardcore adalah kerana mereka rasa terinspirasi setelah mendengar lagu-lagu hardcore kegemaran mereka.
Selain itu, apa yang didapati daripada kajian ini ialah, lagu-lagu yang dipilih turut menjadi peranan semasa mereka sedang marah. Subjek-subjek yang dikaji mengatakan mereka mendengar lagu-lagu hardcore ini kerana ia dapat membahagiakan diri mereka apabila sedang marah.
Namun begitu, kajian ini masih lagi mempunyai kelemahan. Setakat ini, kajian ini hanya dilakukan dengan cara perbincangan sedangkan ada lagi cara lain yang boleh dilakukan untuk membangkitkan kemarahan seseorang. Jadi, satu kajian baru perlu dilakukan untuk mengesahkan lagi bahawa lagu hardcore boleh menenangkan seseorang.