Kehidupan seharian kita yang penuh dengan dugaan dan cabaran pastinya akan menyebabkan kita berasa kecewa dan penat. Apa kata kita positifkan diri kita dengan setiap ujian yang kita lalui. Bagaimana kita hendak positifkan diri kita padahal mental dan fizikal kita sedang penat?
Kenapa kita perlu sentiasa positif? Ikuti beberapa cara untuk kita kekal positif sepanjang hari.
1 Sentiasa tanam dalam jiwa bahawa kita hanyalah hamba Allah S.W.T
Apabila kita sedar kita hanyalah seorang hamba, yang mempunyai Tuan dan Tuhan, pemilik semua kuasa dan kebesaran.
Sesungguhnya semua kebimbangan dan kecemasan yang mungkin hadir bersama dengan aura negatif berjaya dikalahkan oleh kebergantungan yang diletakkan sepenuhnya kepada Tuhan.
Apabila kita sedar, sifat seorang hamba yang baik adalah mempunyai ketakutan dan harapan.
Kemudian perasaan ini akan disertai dengan memuliakan Tuhan, ketakutan ini akan disertai oleh kewibawaan Tuhan, diikuti pula dengan dan mencintai Allah. Jika ini yang kita lakukan pastinya kita akan berasa sangat positif walau apa jua ujian yang kita terima.
2 Dunia hanya persinggahan tempat kita mencari ilmu
Dunia hanyalah pentas untuk kita mencari ilmu, semakin kita dewasa semakin banyak ujian yang kita hadapi. Tapi, ingatlah bahawa itu hanya rencah dunia yang inginkan kita pelajari dan fahami sesuatu.
Hanya diri anda sendiri yang dapat menentukan apa yang anda ingin dan akan pelajari. Sentiasa ingat dalam akal dan hati bahawa kita hanya sementara disini. Kita disini hanya sementara dan gunalah masa yang kita ada untuk belajar.
Tidak kira belajar untuk menghadapi hari esok mahupun belajar untuk mempersiapkan diri kita untuk menghadap Ilahi. Andai ini yang kita selalu tekankan dalam diri kita, pastinya kita akan menjadi lebih positif dari hari ke hari.
3 Tukar perspektif anda
Setiap kejadian yang berlaku dalam hidup anda pastinya akan memberikan satu pelajaran untuk anda. Jika anda melihat sesuatu kejadian yang berlaku pada anda dengan positif ia akan membuatkan kehidupan anda lebih ceria dan bahagia. Ia sebenarnya dari diri anda sendiri untuk melihatnya dari perspektif yang mana.
Misalannya anda memulakan perniagaan namun perniagaan anda tidak kekal lama dan tidak berjaya sepertimana yang anda harapkan. Nah, jika anda melihat ianya sebagai satu kegagalan untuk anda, maka ia akan terus jadi sesuatu yang gagal.
Namun jika anda melihat ianya sebuah pengalaman dan pembelajaran, pastinya ia akan menjadi pengalaman yang sangat berharga untuk anda. Dari situlah anda dapat memperbaiki apa yang salah dan menambah apa yang kurang. Pastinya pada masa depan anda akan lebih berkeyakinan dan bijak dalam menyelesaikan masalah yang anda hadapi.
4 Senyum dan ketawalah
Percayakah anda jika kita sentiasa memberikan senyuman secara tidak langsung dalaman kita berubah menjadi lebih selesa atau lebih baik. Apabila anda terserempak dengan rakan sekerja anda senyumlah pada mereka. Jika melihat kanak-kanak bermain senyumlah. Anda akan lebih berasa gembira apabila senyum dan ketawa.
5 Elakkan berbicara tentang orang lain
Bergosip memang seronok, lebih-lebih lagi dengan sahabat kita yang bercerita tentang orang yang sama. Ini sangat perlu dielakkan dalam kehidupan harian kita kerana ia akan mempengaruhi emosi kita. Bercakap tentang orang lain adalah satu sikap yang baik. Selain itu, berbalah tentang perkara yang sia-sia juga akan menyebabkan emosi kita terganggu. Tiada gunanya berbalah dengan orang hanya untuk memuaskan hati kita namun pada akhirnya kita akan berasa kecewa.
Sikap ini akan menyebabkan kita sendiri tertekan lantas menyebabkan sikap positif yang ada pada diri kita semakin hilang. Untuk mengelakkkan perkara seperti ini terjadi, kita perlu mengelakkan daripada berkawan dengan orang yang sering mengata tentang orang lain mahupun berbalah dengan sesiapa sahaja yang tiada kepentingan.
Positif dalam kehidupan seharian kita sangat perlu kerana ini akan mempengaruhi bagaimanakah kita menerima sesuatu kejadian dan sikap rasional terhadap sesuatu akan menyebabkan kita sendiri berasa gembira selalu. Sebelum kita gembirakan orang lain ada baiklah kita gembirakan hati kita sendiri bukan? Barulah kita akan disenangi oleh orang sekeliling kita!
sumber : jobkartel, elaila.net