Anak-anak muda sekarang ramai yang ingin mendirikan rumah tangga di usia muda. Dari sudut psikologi, pasangan muda kebiasaannya berdepan masalah kematangan dan juga tanggungjawab. Dari segi isu kewangan pula rata-ratanya masih belum stabil.
Apa yang boleh anda lakukan? Berikut kami kongsikan 7 panduan memetik dari perkongsian saudara Amir Syahir buat pasangan muda yang baru berkahwin.
Beli Rumah Yang Kecil Dahulu
Beli rumah yang selari dengan perkembangan keluarga kau terlebih dahulu. Biar kecil asalkan ada tempat untuk keluarga kau berteduh daripada kau duk menyewa sampai ke tua. Tak payah nak ikut orang. Orang beli rumah banglo, kau pun nak ikut juga. Padahal kau tak tahu berapa gaji dia sebulan. Kalau isteri bekerja. Gaji isteri guna untuk beli rumah untuk pelaburan. Sekurang-kurangnya kau sekeluarga ada aset untuk masa hadapan.
Beli Kereta Yang Kecil Dahulu
Belilah kereta yang rendah harganya. Keluarga kau masih kecil, elok beli kereta kecil dulu. Myvi, Viva atau Saga misalnya. Asalkan sampai ke destinasi yang dituju dan selesa untuk isteri dan keluarga kau. Beli kereta yang sesuai dengan pendapatan kau. Tak payah nak lawan dengan kawan-kawan yang lain. Kebiasaannya kau akan beli lebih daripada dua kereta dalam hidup kau. Kereta pertama kereta terpakai pun okay. Kereta terpakai bukan dosa.
Belanja Mengikut Kemampuan Kewangan
Belanja ikut ekonomi kewangan sendiri. Bila kau tengok jiran kau beli kereta baru, kau rasa nak tukar kereta baru. Bila kau tengok kawan Fesbuk kau pergi travel oversea, kau menggelupur nak pergi sama. Jangan nak berlagak kaya. Seeloknya kau tangguh dulu kehendak dan utamakan keperluan. Kalau kau orang ada-ada takpe la. Ikut kau la nak buat apa pun.

Elakkan Pembiayaan Peribadi Dan Hutang Yang Tidak Perlu
Kalau boleh jangan buat pembiayaan peribadi. Kadar keuntungan bank tinggi. Melainkan hutang yang mampu mengembangkan lagi nilai bersih aliran tunai keluarga kau. Jangan berhutang semata-mata nak beli perabot dan perkakas elektrik. Duduk bersila bukan dosa. Makan bersila pun berselera juga bila masakan isteri kau padu. Tidur atas tilam lipat sedap saja bila berdua.
Simpanan Untuk Masa Hadapan
Simpanan setiap bulan yang minima mengikut kemampuan kewangan secara konsisten. Bina tabung untuk masa depan, contohnya tabung pendidikan anak-anak menggunakan tools ASB Financing ataupun Tabung Haji. Tabung untuk kecemasan jangan lupa. Peruntukan juga untuk perlindungan takaful untuk kau sekeluarga. Kau tidak tahu bila kau akan ditimpa muhibah. Simpanan untuk membina aset, simpanan untuk jangka masa sederhana dan panjang. Buat tabung berwarna hijau dan oren untuk memupuk sikap suka menabung.
Buat Bajet Kewangan Keluarga
Cuba buat bajet kewangan setiap bulan. Baru kau tahu ke mana aliran wang kau pergi. Bajet kewangan penting untuk kau mengatur kewangan keluarga kau. Senaraikan barang nak beli, semasa mahu ke pasar raya. Jadi kau tidak akan beli benda yang tidak sepatutnya.
Jangan Ada Banyak Kad Kredit
Kad kredit tak payah ada sampai tiga empat. Kalau suami dah ada kad kredit, isteri tak perlulah ada kad kredit lagi. Bukankah sweet kad kredit isteri guna pastu isteri tolong bayarkan? Eh. Cukuplah satu untuk sekeluarga. Kalau kau bayar separuh je tiap bulan, baik tak payah guna kad kredit.
Sumber: Facebook/Amir Syahir