Setiap tahun tanggal 1 Mei, Malaysia akan menyambut Hari Pekerja dan ia merupakan cuti umum. Jadi, kebanyakkan pekerja di Malaysia akan bercuti pada tarikh ini.
Berdasarkan sejarah, Hari Pekerja adalah sambutan pencapaian ekonomi dan sosial pekerja, termasuk pengenalan sistem jam kerja 8 jam sehari di kebanyakan negara dan di Malaysia pada awal tahun 1970-an selepas diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Tetapi, pernah tak anda terfikir kenapa kita menyambut Hari Pekerja? Dan apakah sejarah di sebalik hari ini?
Bukannya semata-mata satu hari untuk cuti umum ataupun sekadar “menghargai” sumbangan dan pengorbanan pekerja kepada pembangunan negara, malah ia merupakan hari untuk memperingati perjuangan gerakan pekerja di seluruh dunia selama ini yang telah memenangkan hak pekerja yang dinikmati semua pada hari ini, di samping menyuntik semangat baru kepada pekerja untuk meneruskan perjuangan mempertahankan hak asasi pekerja dan merealisasikan cita-cita pembebasan diri golongan pekerja daripada segala bentuk penindasan.
Revolusi Industri & Hari Pekerja
Asal usul sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei setiap tahun, boleh dijejak kembali kepada gerakan pekerja pada awal abad ke-19 yang berjuang untuk menuntut pengurangan jam kerja tanpa mengurangkan gaji sebenar. “Kerja 8 jam sehari” ataupun “kerja 40 jam seminggu”, merupakan tuntutan utama pekerja-pekerja pada zaman Revolusi Industri sewaktu itu.
Apabila ekonomi di negara Eropah dan Amerika Syarikat melangkah masuk ke zaman Revolusi Industri pada abad ke-19 dengan semakin ramai orang terlibat sebagai tenaga kerja, pekerja-pekerja yang menjual tenaga buruh mereka terpaksa bekerja dengan jam kerja yang panjang setiap hari tetapi hanya menerima gaji yang rendah. Kebanyakan pekerja dipaksa untuk bekerja 14 sehingga 16 jam sehari. Di samping itu, fenomena penggunaan buruh kanak-kanak di kilang-kilang di Eropah ketika Revolusi Industri juga amat berleluasa.
Tarikh 1 Mei setiap tahun telah menjadi hari keramat untuk pekerja di seluruh dunia. Di rantau Asia, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei diadakan pertama kali di negara China pada tahun 1920. Sambutan 1 Mei yang pertama di India berlangsung di Madras (Chennai hari ini) pada tahun 1923. Di negara kita, sambutan Hari Buruh yang pertama di Tanah Melayu berlangsung pada tahun 1921 di Ipoh.